Untung bersih Astro susut kepada RM133.65 juta pada suku kedua


KUALA LUMPUR, 15 Sept — Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) susut 21 peratus kepada RM133.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2020 daripada RM169.34 juta sebelum ini.

Penurunan itu berikutan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kos pembiayaan bersih, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Margin EBITDA merosot sebanyak 1.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas, berikutan kos barangan yang tinggi, dikurangkan oleh kos kandungan yang rendah dan susut nilai belum terima.

Loading...

 Perolehan pada suku tahun semasa turut susut 11.8 peratus kepada RM1.09 bilion daripada RM1.24 bilion pada tahun lepas, berikutan penurunan perolehan langganan dan pengiklanan serta diimbangi oleh peningkatan jualan barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan berkata operasi hampir dengan kapasiti penuh.

“Pemasangan telah disambung semula dan kami melihat Astro Ultra Box meneruskan trajektori pertumbuhannya, dengan lebih 100,000 kotak telah dipasang, naik 60 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Trend pembayaran pelanggan juga menggalakkan, dan produksi tempatan, sukan siaran langsung global dan acara lapangan telah disambung semula,” katanya dalam kenyataan berasingan.

  Mengenai prospek, Astro terus berhati-hati pada separuh kedua tahun kewangan 2021 berikutan ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, perubahan struktur dalam industri media dan gejala cetak rompak yang berterusan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *