Petugas kesihatan Semporna cekal pastikan vaksin diterima penduduk


SEMPORNA, 14 Jun  — Seramai 500 individu mengisi borang daftar vaksinasi yang diedarkan Pasukan Khas Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Semporna di kampung-kampung di Pulau Bum Bum, baru-baru ini.

Bagaimanapun daripada jumlah itu hanya 200 bersetuju untuk divaksin manakala selebihnya menolak  dengan alasan takut menerima vaksin COVID-19.

Persoalannya, apakah punca menyebabkan penduduk di pulau yang didiami kira-kira 30,000 penduduk itu enggan menerima vaksin?.

Menurut Ketua Kampung Balimbang, salah sebuah kampung di Pulau Bum Bum, Nasir Abu Bakar, 49, ramai penduduk kampung terpengaruh dengan maklumat negatif mengenai vaksin COVID-19 kononnya boleh menyebabkan maut, lumpuh atau strok yang diperoleh melalui cakap-cakap individu atau bacaan di media sosial.

“Sebab itu, apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan untuk vaksinasi, saya mahu ambil suntikan dahulu…supaya saya boleh kongsi pengalaman dengan orang kampung.

“Saya dan isteri serta tiga anak yang berumur 19 hingga 24 tahun sudah menerima vaksin, biar jadi bukti vaksin COVID-19 ini selamat diambil dan langkah terbaik untuk perlindungan diri,” katanya yang menerima vaksin Sinovac pada Selasa lepas (8 Jun).

Dalam pada itu, Nasir berkata usaha beliau membantu KKM memberi penjelasan kepada penduduk Kampung Balimbang akan diteruskan dan sehingga kini sudah ada penduduk kampung itu mula faham mengenai kebaikan vaksin.

“Saya dah dapat mengumpulkan lebih kurang 80 penduduk yang mahu mengambil vaksin. Sekiranya ada pusat pemberian vaksin (PPV) mudah alih, ia  akan dapat mengurangkan beban kos perjalanan ditanggung penduduk,” katanya yang turut mencadangkan keperluan PPV dibuka di Pulau Bum Bum.

Sementara itu, bagi kakitangan kesihatan Semporna, khususnya Pasukan Khas Promosi Kesihatan, usaha meyakinkan penduduk Pulau Bum Bum dan penduduk di 27 buah pulau lain di daerah itu agar bersetuju divaksin perlu diteruskan sehingga kempen imunisasi di daerah itu berjaya.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata meskipun sambutan penduduk di Pulau Bum Bum ini agak dingin, namun ia tidak menjejaskan semangat petugas kesihatan, malahan gerak kerja tetap diteruskan bagi menimbulkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan mendapatkan suntikan vaksin.

“Kita minta bantuan ketua kampung beri penjelasan mengenai vaksin COVID-19 ini, dan apabila kita dapat capai mungkin 80 peratus penduduk kampung bersetuju untuk vaksinasi, baru kita ke kampung di pulau terbabit untuk berikan suntikan vaksin,” katanya kepada Bernama sambil menambah perancangan secara efisien penting memandangkan keadaan geografi pulau terbabit dan sensitiviti vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Shameer berkata proses vaksinasi ketika ini tertumpu kepada penduduk tanah besar Semporna dan pendekatan petugas kesihatan ‘masuk kampung terus vaksin’ menunjukkan sambutan menggalakkan sekali gus kaedah itu dilihat dapat membina keyakinan penduduk.

“Apabila mereka nampak penduduk sihat selepas terima vaksin, maka penduduk lain pun mahu …ini  terjadi misalnya dalam program outreach di Kampung Bugaya, iaitu dalam tempoh lima jam, seramai 300 penduduk divaksin sedangkan 60 peratus daripada mereka tidak mendaftar melalui MySejahtera,” katanya.

Selain itu, menurutnya pendekatan masuk ke kampung-kampung dilihat dapat mengatasi masalah pendaftaran vaksinasi kerana tidak semua kawasan di Semporna mempunyai liputan internet selain ada penduduk tidak berkemampuan memiliki telefon mudah alih.

Katanya setakat ini, jumlah penduduk Semporna yang mendaftar untuk divaksinasi mencapai 10,000 namun daripada jumlah ini hanya 1,000 penduduk mendaftar melalui MySejahtera dan selebihnya menerusi pendaftaran secara manual.

“Kementerian Kesihatan sebelum ini mengadakan perjumpaan dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPMM), semua ketua kampung diberi penerangan dan kita bagi borang manual untuk penduduk kampung isi, selepas itu kita daftar kemudian bagi tarikh vaksin.

“Agak banyak kerja, tetapi tanpa usaha sebegini kita tidak akan dapat capai lebih 4,000 penduduk yang sudah divaksin setakat ini,” kata Dr Shameer sambil menambah pihaknya menyasarkan 120,000 daripada 140,000 penduduk Semporna disuntik vaksin.

— BERNAMA