Lelaki maut ketika mencari siput


JASIN, 16 April  — Seorang lelaki yang mencari siput di hutan paya bakau di Kampung Air Tawar, Merlimau di sini, ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan berkata jenazah mangsa berusia 24 tahun itu dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 1.41 petang, selepas dihubungi salah seorang rakannya yang turut mencari siput.

“Sebuah jentera bersama lapan anggota termasuk pegawai digerakkan dan tiba di lokasi 16 minit kemudian, bagi mencari mangsa bersama pihak polis sebelum dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Difahamkan mangsa masuk mencari siput kira-kira pukul 7 pagi bersama rakannya,” katanya.

Mohamad Faisal berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.