Langgar SOP PKP: Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman keluarkan 73 kompaun


KUALA TERENGGANU, 15 Jun — Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah mengeluarkan  73 kompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM611,000 melalui Op Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijalankan di daerah itu sejak 31 Mei lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah kompaun itu, 59 dikenakan kepada syarikat dengan nilai RM590,000 dan 14 lagi ke atas pekerja bernilai RM21,000.

“Kompaun bukanlah matlamat kita, namun ia adalah tindakan terakhir yang terpaksa diambil setelah kita memberi banyak nasihat dan amaran sepanjang pemantauan yang dilakukan sebelum itu. 

“Tindakan tegas ini adalah untuk memastikan tiada lagi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang berlaku dalam sektor industri pada masa akan datang, sekali gus menghentikan penularan COVID-19 secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Operasi bersepadu selama 11 hari itu disertai 59 anggota daripada empat jabatan dan agensi kerajaan iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Majlis Perbandaran Kemaman.

Kompaun dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 18(1)(d) dan 18(1)(f) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dr Nor Azimi berkata antara kesalahan dilakukan pemilik kilang ialah gagal menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan gagal memastikan jarak fizikal dalam kalangan pekerja.

“Bagi kompaun pekerja, kesalahan adalah kerana tidak memakai pelitup muka, tidak merekodkan suhu badan dan mengimbas rekod kedatangan melalui aplikasi MySejahtera atau buku catatan.

“Sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 133 premis di Kemaman telah diperiksa dan jabatan menegaskan operasi seumpama ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamatadio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial