BERNAMA – PPN: 49 lagi premis termasuk kilang diarah tutup semalam


KUALA LUMPUR, 24 Julai — Sebanyak 49 lagi premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia adalah hasil penguatkuasaan secara menyeluruh pasukan petugas operasi pematuhan melibatkan 80,868 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut terhadap kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja.

“Semalam juga, 337 individu lagi ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 332 individu dikompaun dan lima direman,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini hari ini.

Bagi Op Benteng pula, menurutnya lima imigran ditahan dan tujuh kenderaan darat dirampas.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sembilan lagi PKPD dilaksanakan melibatkan Perak, Pahang, Kedah dan Sabah mulai 26 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata keputusan itu diambil setelah sidang khas Majlis Keselamatan Negara meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Menurutnya kawasan terlibat di Sabah ialah di Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias, Beaufort; Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Tungkang, Kudat dan Kampung Telisai, Tungku di Lahad Datu. 

Dua lokaliti di Perak yang dikenakan PKPD ialah Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sungai Raia) di daerah Kinta.

Sementara itu di Pahang, ia melibatkan lokaliti di Blok 5 FELDA Keratong 7, Muadzam Shah di Rompin selain PKPD di kawasan Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Kedah. 

Ismail Sabri berkata PKPD di QL Farm Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud; serta tiga lokaliti iaitu Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan esok seperti dijadualkan.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial